Suku Kaum Etnik Sarawak
Sarawak yang terkenal dengan nama jolokannya Negeri Bumi Kenyalangmempunyai rakyat yang terdiri dari pelbagai suku kaum. Terdapat kira-kira 30 kumpulan etnik di Sarawak. Kaum Iban merupakan suku kaum yang terbesar di Sarawak, diikuti oleh kaum Cina, Melayu, Bidayuh, Melanau dan kaum-kaum etnik yang lain. Sebagai sebuah negeri yang mempunyai pelbagai bangsa dan suku kaum, sudah pasti terdapat pelbagai kebudayaan dan adat resam yang diamalkan. Bagi masyarakat Sarawak, adat resam merupakan satu warisan tradisi yang begitu dititikberatkan dan telah sebati dengan kehidupan seharian mereka. Maklumat berkaitan adat resam masyarakat etnik Sarawak dalam laman web ini akan difokuskan kepada tiga aspek utama iaitu kelahiran, perkahwinan dan kematian yang hanya merujuk kepada tiga suku kaum utama di Sarawak iaitu masyarakat Iban, Melanau dan Bidayuh.
IBAN
Masyarakat Iban merupakan golongan majoriti di negeri Sarawak. Terdapat pelbagai suku kaum masyarakat Iban seperti Balau, Sebuyau, Lemanak dan lain-lain. Masyarakat Iban masih kuat berpegang dengan identiti tradisi mereka di samping mengamalkan pelbagai jenis adat resam yang unik. Dari segi geografi, kebanyakan masyarakat Iban mendiami beberapa kawasan pedalaman yang tertumpu di tengah-tengah negeri Sarawak dan sebilangan kecilnya menetap di kawasan-kawasan bandar. Maklumat berkaitan adat resam dan kebudayaan yang diamalkan oleh masyarakat Iban berikut akan memfokuskan tiga aspek utama dalam kehidupan mereka iaitu kelahiran, perkahwinan dan kematian.
MELANAU
Masyarakat Melanau merupakan masyarakat etnik yang terdapat di Sarawak. Umumnya masyarakat Melanau mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu baik dari segi kepercayaan, kebudayaan dan adat resam. Justeru itu masyarakat ini merupakan satu cabang dalam masyarakat Melayu. Namun begitu masyarakat Melanau tetap mempunyai budaya dan adat resam mereka yang tersendiri. Adat resam ini jelas terlihat dalam aspek kehidupan mereka seperti kelahiran, perkahwinan dan juga kematian. Adat resam atau amalan ini diwarisi sejak zaman berzaman dan masih diteruskan hingga ke hari ini.
Masyarakat Bidayuh merupakan masyarakat etnik Sarawak yang rata-ratanya mendiami kawasan bukit di luar bandar Kuching. Terdapat pelbagai suku kaum di kalangan masyarakat Bidayuh dan masing-masing mengamalkan pegangan serta adat resam yang tersendiri. Kebudayaan dan adat resam ini banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur ritual dan kepercayaan yang mereka anuti. Berikut dipaparkan adat resam masyarakat Bidayuh berkaitan kelahiran, perkahwinan dan kematian secara ringkas dan menyeluruh.
MELAYU SARAWAK
Masyarakat Melayu merupakan 21% daripada keseluruhan populasi masyarakat di Sarawak. Kebanyakan mereka bekerja sebagai nelayan. Pada masa sekarang, ramai masyarakat Melayu sudah berpindah ke bandar di mana mereka telah melibatkan diri dalam pelbagai profesion sama ada di sektor awam atau swasta.
Kebanyakan rumah di perkampungan Melayu Sarawak diperbuat daripada kayu dan kebanyakannya masih terletak di tepi sungai yang jauh daripada bandar atau pekan. Mereka masih bergantung kepada industri tradisional seperti mengukir kayu, perak dan membuat tenunan kain songket.
Masyarakat Melayu Sarawak adalah beragama Islam di mana Islam telah dibawa ke Asia sejak 1000 tahun dahulu. Agama Islam banyak mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu Sarawak terutama aspek kebudayaan dan kesenian. Bagi aspek pembinaan, kebanyakan rumah atau bangunan mempunyai simbol atau ciri-ciri keislaman. Begitu juga dengan adat resam perkahwinan yang sememangnya berlandaskan Islam.